Omardin beransur pulih

Written by Lincah01 0 comments Posted in:

Utusan Malaysia, Isnin, 11 Januari 2010

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Keadaan Mahaguru Silat Lincah, Datuk Omardin Mauju yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) akibat serangan jantung semalam, kini dilaporkan beransur pulih dan stabil.

Perkara itu disahkan oleh anak sulung beliau, Megat Zulkarnain yang turut memberitahu, bapanya telah dikeluarkan dari Unit Rawatan Koronari (CCU) dan ditempatkan ke Wad Bunga Raya IJN.

Menurut Megat Zulkarnain, bapanya masih lagi di bawah pengawasan doktor walaupun telah ditempatkan di Wad Bunga Raya.

"Alhamdulillah, ayah berada dalam keadaan stabil dan sedar. Kami sekeluarga mendoakan kesihatannya supaya segera pulih," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Omardin dimasukkan ke IJN akibat serangan jantung kira-kira pukul 8 malam.

Beliau pada mulanya dikejarkan ke Hospital Selayang sebelum diarahkan untuk dirujuk ke IJN.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim turut melawat pengasas silat lincah itu petang ini.

Beliau memberitahu, doktor pakar IJN memaklumkan bahawa Omardin yang dimasukkan ke hospital berkenaan tiga hari lepas berada di dalam keadaan stabil dan tidak serius.

"Jadi sebagai seorang sahabat karib, saya datang pada petang ini untuk bersama-sama melihat beliau supaya keceriaan beliau terus menerus wujud," katanya.

0 comments:

Pages