PSSLM buka ahli bukan Melayu

Written by Lincah01 0 comments Posted in:

Mingguan Malaysia, Ahad, 21 Mac 2010

Muhyiddin Yassin, Mahaguru Datuk Omar Din bersama pesilat selepas Majlis Perjumpaan dan Penyampaian Ijazah peringkat Kebangsaan di Setiawangsa, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 20 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memuji langkah Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) membuka keahlian kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, keturunan dan warna kulit.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pendekatan itu sangat digalakkan kerana ia boleh menarik minat masyarakat bukan Melayu mempelajari keunikan seni mempertahankan diri milik orang Melayu.

Menurut beliau, ia menepati semangat 1Malaysia iaitu gagasan yang telah dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha menyatukan lagi hubungan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. '

'Inilah dikatakan 1Malaysia kerana akhirnya kita berjaya memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum melalui aktiviti silat. '

'Bagi saya kesediaan rakyat bukan Melayu menerima keunikan seni mempertahankan diri orang Melayu membuktikan yang kita sebenarnya boleh hidup bersama dalam satu negara dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain,'' katanya.

Beliau berucap pada majlis perhimpunan dan penyampaian ijazah PSSLM 2010 di Padang Awam Setiawangsa di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Mahaguru dan Pengasas PSSLM, Datuk Omardin Mauju, Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan Penasihat PSSLM, Megat Zulkarnain Datuk Omardin.

Dalam majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut diberi penghormatan menyampaikan ijazah kepada 10 penerima selendang kehormat; 30 jurulatih kanan dan 50 jurulatih biasa.

Selain itu, para hadirin turut disajikan dengan pertunjukan silat oleh ahli-ahli PSSLM termasuk kanak-kanak yang berusia 10 tahun dan ke bawah.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, seni silat bukan sahaja mengajar ahli-ahlinya mempertahankan diri tetapi yang lebih utama seni itu berupaya membentuk rakyat yang berdisiplin, mempunyai jati diri serta sahsiah terpuji.

''Ia juga mampu melahirkan masyarakat yang memiliki kesetiaan dan kecintaan yang tinggi kepada tanah air dan elemen-elemen ini jugalah yang amat kita perlukan dalam mencapai Wawasan 2020,'' katanya.

Menyentuh penglibatan generasi muda dalam seni silat, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan mahu melihat lebih ramai golongan muda terbabit dalam kegiatan tersebut. '

'Tugas serta tanggungjawab terutamanya bagi golongan muda sebenarnya amat berat namun dengan didikan yang diperolehi dan diterapkan melalui pelajaran silat saya yakin mereka mampu memikul amanah ini.

''Bagi saya generasi muda harus digalakkan menyusuri kesenian dan tatacara disiplin yang tinggi terdapat di dalam pengamalan seni silat bagi membolehkan mereka melengkapkan proses pengisian ketahanan mental, fizikal serta keluhuran pekerti yang tinggi,'' katanya.

Sementara itu, beliau turut bangga dengan kejayaan PSSLM mengembangkan sayapnya hingga ke luar negara selain menjadi pertubuhan silat yang sentiasa diundang menyertai Festival Seni Mempertahankan Diri peringkat dunia setiap tahun.

''Tentunya penyertaan tersebut berjaya menjadikan silat sebagai jambatan budaya yang boleh memperkenalkan bahasa dan budaya orang Melayu kepada dunia luar,'' tambahnya.

Seterusnya...

Pages