Utusan Online, Khamis, 8 September 2011






Barisan 'Anak-anak Lincah' yang menghadiri Festival Seni Bela Diri Dunia Chungju 2011 , Korea Selatan.

--------------------------------------------------------------------------------

CHUNGJU, Korea Selatan 7 Sept. - Penyertaan Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) yang mewakili negara pada Festival Seni Bela Diri Dunia Chungju 2011 amat dihargai oleh Kesatuan Seni Bela Diri Dunia (Womau) sehingga ia diangkat sebagai rakan tetap penganjur.


Penghargaan itu nyata memberikan makna besar kepada pertubuhan tersebut apabila Presiden Womau, Soh Byung Yong awal-awal lagi memberi jaminan untuk menjemput PSSLM bagi menyertai festival sama tahun depan.


Menurutnya, festival pada tahun depan bakal diadakan secara besar-besaran dengan penyertaan lebih ramai pengamal seni bela diri dunia daripada pelbagai negara sempena sambutan 10 tahun penganjuran festival itu.


"PSSLM menunjukkan komitmen tinggi dalam sembilan penyertaannya sebelum ini. Oleh itu kami menganggap mereka sebagai rakan tetap penganjur dan pastinya penyertaan mereka pada festival besar-besaran tahun depan adalah sesuatu yang penting.


"Kami mahu menjadikan Chungju sebagai bandar raya yang mampu mengumpulkan seramai mungkin pengamal seni bela diri. Maka sumbangan PSSLM terutama melalui Timbalan Pengerusi Majlis Tertingginya yang juga Naib Presiden Womau, Megat Zulkarnain Omardin amat kami hargai," kata Byung Yong.


Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia pada Festival Seni Bela Diri Dunia Chungju 2011 di Taman Seni Bela Diri Dunia di sini hari ini.


Festival kali ini melibatkan penyertaan 37 wakil dari 42 negara dengan 15 daripadanya terpilih melakukan demonstrasi termasuk PSSLM.


Sementara itu, pasukan demonstrasi PSSLM terus menarik perhatian pengunjung dengan persembahan bertenaga.


Malah ada antara wakil seni bela diri popular dunia yang meminta untuk diberikan video persembahan 10 anak Lincah itu kepada mereka bagi dipertontonkan di negara masing-masing. - Utusan

Seterusnya...

Pages