Utusan Malaysia, Khamis, 26 Ogos 2010

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Sekiranya benar ada dalang di sebalik tunjuk perasaan di Indonesia, saya cabar mereka tampil untuk dedahkan diri di sini.

Amaran keras itu dilafaz Pengerusi Majlis Tertinggi (MT) Silat Lincah Malaysia, Datuk Omardin Mauju kepada individu atau mana-mana pihak yang disifatkannya sebagai perosak negara dengan mendalangi peristiwa 'hitam' di hadapan Kedutaan Malaysia di Indonesia semalam.

Beliau ketika dihubungi di sini hari ini berkata, cabaran itu dilakukan kerana beliau sendiri merasa tercabar melihat Jalur Gemilang dipijak selain sedih mendengar khabar Kedutaan Malaysia yang menjadi jambatan kepada perhubungan dua negara dilempar dengan najis.

"Saya terkejut melihat reaksi rakyat Indonesia ke atas kedutaan kita. Jika benar ada dalang daripada rakyat negara ini dan jika benar dalang itu betul-betul berani, sila dedahkan diri anda," katanya.

Omardin menambah, beliau turut menerima ratusan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada ahli persatuan silat itu mengenai tindakan yang perlu diambil.

"Apa pun, kita tidak akan bertindak melakukan perbuatan seperti penunjuk perasaan itu. Kita di sini lain, sentiasa menggunakan akal dan fikiran yang waras untuk menjaga keharmonian.

"Itu bagaimanapun tidak bermakna kita gentar. Sekiranya negara ini diceroboh, kita sanggup melawan meskipun negara ini kecil. Tidak perlulah gertak kita selalu," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menzahirkan rasa kesal di atas apa yang berlaku ketika ini.

"Kita sebagai bangsa serumpun tidak perlulah berbalah begini. Di rumah saya sendiri ada lima orang gaji Indonesia, mereka kita tatang bagai minyak yang penuh," katanya.

Seterusnya...

Pages