Mahaguru Master Datuk Haji Omardin bin Mauju (kini Tan Sri), dilahirkan pada 29 Mei 1941 di Puchong, Selangor. Tetapi beliau dibesarkan di Kampung Puah, Gombak, Selangor. Anak jati Selangor yang juga dibesarkan di kampung berkenaan sudah berdepan dengan keperitan hidup sejak kecil lagi akibat menderita penyakit lumpuh atau polio, iaitu sejenis penyakit yang amat sukar diubati ketika itu.

Namun, kesakitan itu tidak menghalang beliau dari berusaha mencari sesiapa sahaja yang boleh mengubatinya sehinggalah bertemu seorang guru silat iaitu Syed Abdul Rahman di Pulau Besar Melaka. Guru silat berkenaan menasihati beliau mempelajari 'Silat Tarah', sebagai usaha mengubati penyakitnya. Maka, bermulalah sejarah silat dalam diri beliau.


Minatnya terhadap silat semakin mendalam apabila mendapati penyakitnya menunjukkan tanda-tanda sembuh tetapi dalam masa yang sama beliau terpaksa menerima hakikat akan menghadapi kecacatan kedua-dua anggota kaki buat selama-lamanya. Sepanjang menjalani tempoh rawatan dan mempelajari silat, Omardin pernah ditanam dari kaki hingga ke paras pinggang sebanyak 15 kali di kawasan pantai pada setiap kali bulan mengambang.


Semua ujian itu dihadapi dengan tabah olehnya walaupun usianya ketika itu 18 tahun. Omardin terus mempelajari pelbagai teknik silat termasuk menyerang, cara bertahan serangan musuh serta menumpaskan musuh menggunakan segala pergerakan tubuh badan termasuk anggota kakinya yang cacat. Beliau bukan sahaja dilatih oleh Syed Abdul Rahman tetapi turut dibantu oleh tujuh orang anak murid gurunya yang juga rakan seperguruan beliau.


Berkat kesabaran, kecekalan dan kesungguhan beliau, Omardin seakan-akan tidak percaya apabila beliau dilantik menjadi Guru Muda setelah 4 tahun bertungkus lumus mempelajari silat berkenaan apatah lagi usianya ketika itu baru 22 tahun. Kejayaannya tidak berakhir disitu kerana selang beberapa bulan kemudian setelah melalui penilaian dan ujian getir gurunya, Omardin dilantik sebagai 'Mahaguru' dan diberi kebenaran oleh Syed Abdul Rahman mengajar Silat Lincah.

Pengiktirafan 'Mahaguru' kepadanya bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Namun, Omardin membuktikan kecacatannya tidak menjadi halangan bagi menghadapi ujian kebatinan yang amat getir, antaranya ialah ditetak dengan senjata tajam, disiram dengan minyak panas dan yang paling mencemaskan apabila beliau ditanam hidup-hidup selama 2 hari 2 malam.

Upacara pertabalan Omardin sebagai 'Mahaguru' dilakukan di Makam Sheikh Ismail Sultan Ariffin, Pulau Besar Melaka. Dengan melalui pelbagai adat istiadat. Dalam upacara itu juga, beliau menerima anugerah peralatan gurunya sebagai waris semua ilmu yang dimiliki oleh gurunya. Selesai upacara adat istiadat, Omardin dimandikan di 'Perigi Nenek Kebayan' dan di limau di 'Makam Tujuh Beradik' sebagai penamat upacara pertabalan.

Setelah tamat berguru dengan Syed Abdul Rahman, beliau diwasiat oleh gurunya supaya berguru dengan empat orang guru lain. Bagi memenuhi wasiat berkenaan beliau mendalami ilmu silat dan kerohanian dengan Kiyai Haji Nong Lias di Rantau, Negeri Sembilan, selepas itu beliau berguru dengan Wan Alang dari Bukit Selambau, Kedah. Manakala guru ketiganya ialah Syed Mohammed Al-Qadri dan guru keempatnya ialah Tuan Haji Salleh Patani.

Beliau kemudiannya berangkat ke Tanah Suci Mekkah bersama-sama dengan 37 orang jurulatih untuk 'nas'kan (mengesahkan) ilmunya. Pulang ke tanah air, Silat Lincah mula mencipta sejarah. Dengan hanya lima orang anak murid asal, Omardin membuka beberapa gelanggang di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan.








-sumber asal dari Laman Web PSSLM www.silatlincah.com.my
____________________________________________________________

Biografi YM Mahaguru






YM MAHAGURU TAN SRI DATO' HAJI OMARDIN BIN MAUJU
PSM, DMPN. DSSA. DSPN



-Mahaguru Dan Pengasas PSSLM

-Pengerusi Majlis Tertinggi PSSLM

-Pengasas Dan Penasihat Majlis Seni Beladiri Malaysia (MARCIL)

-Dato' Paduka DSSA, (Darjah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Negeri Selangor) (1999)

-Dato' DSPN, (Darjah Setia Pangkuan Negeri Pulau Pinang) (2002)

-Dato' DMPM, (Darjah yg Mulia Pangkuan Negeri Pulau Pinang ) (2005)

-LAGENDA SEUMUR HIDUP SENI MEMPERTAHANKAN DIRI DUNIA (IAEWP) (2008)

-PENERIMA ANUGERAH TALI PINGGANG HITAM KEHORMAT 'SUPREME GRANDMASTER' Malaysia Global Taekwando Federation (MGTF) (2009)

-PENERIMA ANUGERAH TERTINGGI DARI WORLD UNION KARATE DO FEDERATION (WUKF) Sao Paolo, Brazil (2010)

-PENERIMA ANUGERAH GELARAN KESATRIA MELAYU TERBILANG (PERGERAKAN PEMUDA UMNO) (2010)


-Tan Sri PSM, (Panglima Setia Mahkota) (2011)








1 comments:

  1. Anonymous

    Syabas buat Mahaguru Grandmaster Datuk Omardin

    Wednesday, December 08, 2010

Pages