Adat Istiadat

Written by Lincah01 0 comments Posted in:

Latar Belakang | Pakaian | Tatacara Latihan | Adat Istiadat | Pendekar | Senjata Tradisional


Adat Istiadat

Upacara Perasmian Gelanggang
Upacara ini harus dijalani oleh setiap ahli baru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) dan upacara ini hanya akan disempurnakan oleh YM Mahaguru atau wakil beliau. Ianya bertujuan merasmikan ahli yang baru sekaligus mengesahkan ahli tersebut sebagai ahli silat lincah yang sah dan juga menandakan ahli tersebut menjadi anak murid rasmi kepada YM Mahaguru. Setiap ahli akan dikenakan bayaran RM 15.00 untuk upacara kenduri dan RM3.00 untuk wang adat. Wang adat tersebut akan diberikan kepada YM Mahaguru. Di akhir upacara ini ahli akan diperturunkan amalan pertama oleh YM Mahaguru atau wakil beliau untuk diamalkan.
Barang-barang adat yang perlu ada untuk upacara ini adalah:-
  1. sehelai sejadah
  2. 4 bekas bara
  3. kemenyan satu pinggan
  4. pasir/tanah gelanggang satu pinggan
  5. tikar mengkuang satu gulung
Upacara Tamat Langkah / Berlimau
Upacara ini pula adalah satu upacara yang akan ditempuh oleh setiap ahli PSSLM yang telah mendapat amalan pertama apabila mereka telah cukup tempoh didalam pembelajaran silat mereka selama 6 bulan atau 8 bulan ke atas. Upacara ini akan dikendalikan oleh jurulatih dengan izin YM Mahaguru dan setiap ahli akan dikenakan tempoh pantang larang selama seminggu sebelum upacara berlimau ini dijalankan. YM Mahaguru akan menguji sejauh mana keyakinan diri, ketahanan dan ketangkasan ahli menahan ujian seperti menahan tumbukan, dipukul dan ditetak dengan bermacam-macam senjata seperti batang rotan, batang semambu, batang cangkul, batang tebu dan parang. Upacara ini juga menandakan seseorang ahli itu telah tamat pelajarannya di dalam langkah silat lincah tetapi ianya bukan bermakna akan berakhir kerana didalam pembelajaran silat tiada pengakhiran. Ahli yang mengambil ujian ini perlu menyediakan beberapa barang adat sebelum upacara ini dimulakan. Persediaan barang-barang adat adalah:-
  1. Limau nipis 3 biji
  2. Garam jantan 3 ketul
  3. Pinggan putih 1 pinggan
  4. Pulut kuning 1 gelanggang
  5. Kemenyan 3 ketul
  6. Kain putih mengikut bilangan ahli iaitu 1 meter setiap seorang
  7. Segenggam beras
  8. Wang Adat sebanyak RM 10.25 sen
  9. Paku berukuran 3 inci sebanyak 3 batang
  10. Wang persiapan upacara sebanyak RM 5.00
Barang-barang adat satu persalinan untuk jurulatih disediakan oleh gelanggang.
• Kain hitam 4 meter
• Songkok
• Capal sepasang mengikut taraf jurulatih

Barang-barang Persiapan Untuk Upacara Tamat
Senaskah Al-Quran

• Rehal
• Sejadah
• Bekas Bara
• Arang
• Pasu
• Dulang
• Pisau yang tajam
• Jug air
• Cawan bertangkai beserta piring
• 1 pinggan garam jantan
• 1 pinggan kemenyan ditumbuk halus
• 1 pinggan pulut kuning yang telah dibulat kecil – kecil
• Tikar mengkuang
• Barang ujian senjata secukupnya








Upacara Kenaikan / Penyampaian / Penganugerahan Ijazah
Upacara ini adalah bertujuan mengiktiraf peringkat seseorang jurulatih atau ahli mengikut keistimewaan yang terdapat pada dirinya mahupun orang perseorangan yang banyak berkorban, membantu, membangunkan dan menyumbangkan tenaga kepada Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia. Bagi Jurulatih dan ahli PSSLM mereka akan dinilai oleh sektor-sektor yang tertentu dan Mahaguru bakal menentukan kedudukan mereka terutamanya dari kalangan jurulatih atau bakal jurulatih bagi memastikan mereka ini adalah tergolong dari kalangan ahli yang benar-benar berkualiti dan berwibawa. Penganugerahan ini akan diberi kepada mereka mengikut peringkat masing-masing dan akan dihimpunkan di dalam satu majlis upacara kenaikan peringkat/ijazah pada satu perhimpunan tahunan sama ada peringkat rendah, peringkat negeri atau peringkat kebangsaan. Terdapat 2 kategori upacara kenaikan ijazah ini. Kategori tersebut adalah :-

1. Kenaikan Ijazah Peringkat Rendah PSSLM

Upacara ini hanya ditauliahkan kepada ahli biasa PSSLM dari peringkat pertama (kuning-kuning) hingga ke peringkat yang keempat (serba hitam) iaitu:-

  • Taraf Kuning-Kuning ke Merah Kuning
  • Taraf Merah Kuning ke Merah Hitam
  • Taraf Merah Hitam ke Serba Hitam atau Hitam-Hitam(Pakaian Serba Hitam ini juga dikenali sebagai Pembantu Jurulatih atau Pembantu Gelanggang)
  • Ada juga situasi upacara ini dibuka ke peringkat yang lebih tinggi dari peringkat jurulatih kanak-kanak/ remaja (Selendang Hijau), Jurulatih Muda (Selendang Kuning) dan ke peringkat Jurulatih Kanan Negeri (Selendang Merah) jika Majlis istiadat ini dianjurkan oleh PSSLM peringkat negeri dengan izin YM Mahaguru.
2. Kenaikan Ijazah Peringkat Tinggi PSSLM
Upacara kenaikan ini pula ditauliahkan kepada Jurulatih-Jurulatih PSSLM dari peringkat Jurulatih Muda hingga ke peringkat tertinggi Jurulatih Kanan Malaysia. Lazimnya upacara ini hanya diadakan pada perhimpunan PSSLM peringkat kebangsaan.

Upacara Pertabalan Makhta
Pertabalan Makhta bermaksud penganugerahan pakaian tertinggi di dalam silat lincah malaysia kepada para jurulatih. Pakaian ini melambangkan seseorang jurulatih itu adalah diperingkat Jurulatih Kanan Malaysia PSSLM. Sebelum upacara pertabalan dilakukan seseorang jurulatih itu perlu melakukan cara-cara dibawah:-

Para penerima akan menyucikan diri di air yang mengalir.
• Kemudian upacara menepung tawar pakaian makhta dan juga si penerima di jalankan.
• Antara barang-barang yang perlu ada semasa upacara mandi dan menepung tawar ialah:

Barang mandi:-

• i. 2 biji limau nipis
• ii. 3 biji garam jantan
• iii. 1 helai kain pelikat (dipakai semasa mandi)

Barang-barang Adat:-

• i. Gaharu/ Cendana
• ii. Bertih
• iii. Air Mawar
• iv. Bunga Rampai
• v. Beras Kunyit
• vi. Kulit Limau Purut (dihiris)
• vii. Kapur Barus
• viii. Daun Pandan



0 comments:

Pages