Utusan Online, Khamis, 21 Oktober 2010.

Khairy Jamaluddin menyampaikan Anugerah Kesatria Terbilang Pemuda UMNO kepada Omardin Mauju di Dewan Merdeka, PWTC, semalam.


KUALA LUMPUR 20 Okt. – Pengerusi Majlis Tertinggi (MT) Silat Lincah Malaysia, Datuk Omardin Mauju mendapat penghormatan sebagai penerima pertama Anugerah Kesatria Terbilang Pemuda UMNO di atas jasa dan baktinya memperjuangkan seni kebudayaan Melayu selama 50 tahun.

Beliau yang nyata berbangga dengan penganugerahan itu berkata, anugerah tersebut bukan saja melambangkan penghargaan untuk dirinya seorang malah ditujukan kepada semua pejuang-pejuang silat Melayu.

“Saya berterima kasih di atas penganugerahan ini. Saya amat menghargainya namun selama 50 tahun saya memperjuangkan silat Melayu, saya anggap anugerah bukanlah segala-galanya.

“Ia menandakan jasa saya dikenang dan diingati. Tetapi bagi saya sendiri, selagi bernafas, selagi hayat dikandung badan, saya akan terus berjuang memartabatkan silat Melayu di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia sebaik menerima anugerah tersebut pada Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Omardin sebelum ini pernah dianugerahkan dengan gelaran Legenda Seumur Hidup Seni Mempertahankan Diri Dunia oleh Persatuan Pendidik Antarabangsa Bagi Keamanan Dunia (IAEWP) dan Gelaran Master 7 Dan, dari Persekutuan Taekwondo Global Malaysia pada 2001.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan generasi muda agar sentiasa mencabar diri bagi menjadi pemimpin yang berjasa bukan saja di negara ini malah ke peringkat antarabangsa.

“Perjuangan hari ini bukan seperti dahulu. Dulu saya berjuang bersendirian tetapi hari ini pelbagai bantuan khas boleh diperoleh.

“Disebabkan itu, saya mahu lihat orang- orang muda mampu berjuang hingga ke peringkat antarabangsa. Bercita-citalah untuk menjadi pemimpin, bukan saja di negara ini malah ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Seterusnya...

Pages