Muhyiddin Ulul Amri Silat Lincah

Written by Lincah01 0 comments Posted in:

Utusan Online, Ahad, 21 November 2010

TUN Abdul Rahman Abbas memakaikan tengkolok kepada Muhyiddin Yassin yang menerima anugerah Ulul Amri Ke-4 Silat Lincah disaksikan Omardin Mauju (duduk) dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, semalam. - BERNAMA

KEPALA BATAS 20 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dianugerahkan gelaran Ulul Amri Keempat Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM).

Penganugerahan itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pada perhimpunan PSSLM sempena sambutan ke-50 tahun silat lincah di sini.

Penerima anugerah pertama ulul amri PSSLM ialah Abdul Rahman sendiri diikuti bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam ucapannya, Muhyiddin melahirkan penghargaan dengan anugerah tersebut yang disifatkannya sebagai satu penghormatan yang cukup tinggi.

Beliau turut mengumumkan akan membantu PSSLM untuk memiliki bangunan sendiri bagi meningkatkan kegiatannya.

"Kerajaan dari awal lagi sentiasa didokong dan sentiasa menyokong pergerakan badan-badan pertubuhan silat Melayu.

"Seiring dengan usaha bagi mencapai matlamat itu, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah banyak bekerjasama dengan pertubuhan silat Melayu agar diiktiraf dan dipelajari ramai serta sentiasa seiring dengan lunas-lunas Islam," katanya pada majlis itu di sini.

Hadir sama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Ketua Menteri Melaka merangkap Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Seri Mohd. Ali Rustam serta Pengerusi Majlis Tertinggi (MT) Silat Lincah Malaysia, Datuk Omardin Mauju.

0 comments:

Pages