Mahaguru Silat Berenang 5 Kilometer

Written by Lincah01 0 comments Posted in:

Harian Metro, Khamis, 14 Mei 2009

Kuala Lumpur: Mahaguru dan Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Datuk Omardin Mauju akan berenang secara solo sejauh lima kilometer dari Pulau Jerejak ke Pulau Pinang, Disember ini.

Yang Dipertua PSSLM, Datuk Subahan Kamal, berkata acara itu bukan bertujuan menunjuk-nunjuk atau mendapat publisiti sebaliknya mahu memberi kesedaran kepada generasi muda supaya tidak terbabit dengan gejala tidak sihat,

"Mahaguru mahu generasi muda menyedari bahawa dengan fizikal yang sihat dan minda yang cerdas, mereka boleh melakukan banyak perkara berfaedah, bukannya terbabit dengan dadah atau menyertai kumpulan mat rempit.

"Dengan fizikalnya yang tidak begitu mengizinkan kerana kedua-dua kaki sudah tidak boleh digunakan dan usianya yang kini mencecah 70 tahun, Mahaguru ingin membuktikan bahawa tiada apa yang dapat menghalang seseorang melakukan perkara berfaedah sekiranya mereka mempunyai jati diri, keinginan dan semangat yang kental," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media acara itu, di sini, semalam. Hadir sama, Presiden Majlis Seni Bela Diri Negara (Marcil), Datuk Dr Rahman Ismail dan Naib Yang Dipertua PSSLM, Megat Zulkarnain Omardin.

Subahan berkata, sebelum melakukan acara renang itu, Omardin akan mengadakan beberapa sesi latihan di Pulau Besar, Melaka dan menjalani pemeriksaan kesihatan untuk memastikan beliau boleh berenang dengan jayanya pada hari itu.

"Kebanyakan latihan yang akan dijalankan lebih menumpukan kepada senaman menguatkan bahagian badan dari pinggang ke atas kerana beliau akan menggunakan tangan dan dada untuk berenang pada hari itu.

"Persatuan memberi sokongan penuh kepada Mahaguru dan berharap beliau akan berjaya membuktikan kepada anak muda bahawa jati diri yang kuat akan dapat mengubahkan diri untuk melakukan perkara yang lebih berfaedah," katanya.

Julai tahun lalu, Omardin pernah menunjukkan demonstrasi ditanam hidup-hidup dalam sebuah lubang seperti kubur selama kira-kira lima minit, di Beranang sempena penggambaran rancangan Panorama, terbitan RTM.

Seterusnya...

Pages