Utusan Malaysia, 20 Disember 2009

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Seni mempertahankan diri boleh dijadikan alat perpaduan kaum bagi melahirkan bangsa yang mempunyai kesetiaan dan kecintaan terhadap negara.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, aktiviti itu juga mampu menjayakan gagasan 1Malaysia.

"Jangan jadikan seni mempertahankan diri ini sebagai alat untuk berperang sesama kaum sebaliknya bersama untuk mempertahankan tanah air tercinta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) kali ke-29 di sini hari ini.

Hadir sama mahaguru dan pengasas PSSLM, Datuk Omardin Mauju dan Penasihat seumur hidup PSSLM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.

Mohd. Ali berkata, pertubuhan silat perlu berani melakukan perubahan bagi memastikan ia kekal sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berupaya memberi pandangan serta maklum balas terhadap apa jua dasar kerajaan.

Menurutnya, perubahan itu meliputi perlaksanaan kegiatan persilatan mahupun isu-isu berkaitan dengan bangsa, sosial, budaya dan agama.

"Ia bagi memastikan aspek ketuanan Melayu tidak akan dipersoalkan atau diperlekeh oleh mana-mana pihak.

"Oleh itu, marilah kita berganding bahu mencapai gagasan 1Malaysia agar silat terus memainkan peranan dalam proses membina negara maju menerusi budaya, seni dan warisan turun temurun ini," katanya.

0 comments:

Pages