Utusan Malaysia, Selasa, 15 September 2009

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) sedia menggerakkan empat juta anggotanya jika kedaulatan negara ini diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya, Megat Zulkarnain Omardin mengingatkan kepada pihak yang bercita-cita untuk melakukan tindakan seperti itu supaya melupakan hasrat berkenaan.

‘‘Sejak dahulu lagi, kami telah diajar untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja yang cuba menceroboh kedaulatan negara ini. Ini tanah air kami dan kami rela berkorban untuk agama kami serta untuk negara kami.

‘‘Kami tidak rela melihat ada orang lain sengaja menceroboh negara kami dengan sesuka hati. Kami sedia melawan mereka. Kami juga mempunyai kekuatan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas hasrat segelintir rakyat Indonesia yang menggelarkan diri mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) untuk menyerang Malaysia ekoran isu tarian Pendet

Perkara itu dinyatakan oleh Penyelaras Kempen Anjuran Kumpulan Pemuda Nasionalis Bendera, Mustar Bonaventura baru-baru ini bahawa kesemua sukarelawan itu telah menyimpan stok makanan, ubat-ubatan termasuk senjata seperti pedang samurai bagi menghadapi kemungkinan perang.

Bagaimanapun Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono bimbang dengan perkembangan itu sambil mengingatkan bahawa tindakan Bendera itu hanya akan mencetuskan masalah baru.

Mengulas lanjut Megat Zulkarnanin berkata, diam bukan bermakna kemampuan rakyat Malaysia khususnya pengamal silat boleh diperkecilkan.

0 comments:

Pages