Utusan Malaysia, Ahad, 11 Januari 2009

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Seramai empat juta ahli seni mempertahankan diri di negara ini akan memboikot penggunaan produk buatan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia, Datuk Omardin Mauju berkata, setiap ahli dan keluarga mereka telah menyatakan kesediaan untuk memboikot barangan keluaran negara berkenaan dalam kehidupan seharian mereka.

'''Saya yakin dengan jumlah ahli seni mempertahankan diri yang besar di negara ini, mampu untuk memberi kesan terhadap kekejaman yang dicetuskan Israel.

''Malah kesepakatan yang terjalin antara pertubuhan yang ada mampu memberi impak memandang cara ini paling terbaik masa kini,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Penyelaras Aman Malaysia, Datuk Mukhriz Tun Mahathir; Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Fuad Hassan dan Presiden Majlis Seni Bela Diri Malaysia (Marcil), Datuk Dr. Rahman Ismail.

Antara pertubuhan seni silat yang memboikot produk berkenaan ialah Seni Silat Gayong Malaysia, Silat Gayong Fatani, Seni Silat Cekak Malaysia, Seni Silat Cekak Hanafi dan Seni Silat Lincah Malaysia.

Dalam pada itu Omardin berkata, ahli-ahli kumpulan seni mempertahankan diri tersebut turut menyatakan kesediaan untuk dihantar ke Palestin.

''Kami sanggup untuk dihantar ke Genting Gaza untuk berjuang menentang kezaliman rejim Zionis jika kerajaan memberi peluang,'' katanya.

Sementara itu, Fuad berkata, pertubuhannya akan menghantar nota gesaan kepada negara-negara Arab berhubung krisis kemanusiaan di Gaza.

''Kami akan menghantar gesaan tersebut pada Selasa ini memandangkan Liga Arab adalah antara kuasa besar dunia untuk menghentikan keganasan tersebut,'' katanya.

0 comments:

Pages