Written by Lincah01
Posted in:
Buletin
Berita Harian, Selasa, 16 Februari 2010
NORLEE Ashilin (duduk dua dari kiri) dan Omardin (kiri) selepas majlis perasmian gelanggang dan upacara berlimau di Gelanggang PSSLM Batu Berangkai di Kampar.
KAMPAR: Seni silat yang pada satu ketika menjadi status sosial dan lambang kehebatan pengamalnya masih terus bertahan dan diminati generasi muda ketika tuntutan semasa menyaksikan wang ringgit dan kemewahan hidup adalah lambang kejayaan.
Ia ditunjukkan menerusi kejayaan 84 pelatih Persatuan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) berusia antara 9 hingga 30 tahun yang menyertai upacara berlimau dan tamat latihan peringkat asas baru-baru ini.
Pengasas PSSLM, Datuk Omardin Mauju, berkata sepanjang 49 tahun persatuan itu ditubuhkan lebih sejuta ahli dari dalam dan luar negara berjaya menguasai seni silat yang diturunkan ilmunya dari satu generasi ke satu generasi. Antara warga luar yang menyertai persatuan itu termasuk dari England, Belgium, New Zealand, Belanda, Perancis, Madagascar dan yang terbaru Korea Selatan.
Omardin berkata, pembelajaran silat juga dapat merapatkan hubungan persaudaraan tanpa mengira pangkat serta darjat dan penyertaan remaja dalam silat dapat membentuk peribadi dan menyatukan anak-anak Melayu khususnya untuk mengekalkan warisan nenek moyang.
“Selain itu, remaja yang menyertai persatuan ini boleh menjadi insan berguna kepada masyarakat dan mampu menjadi benteng negara ketika negara dalam kesusahan,” katanya pada Majlis Perasmian dan Berlimau PSSLM peringkat negeri, di sini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tualang Sekah, Norlee Ashilin Mohd Radzi; Ketua Jurulatih Kanan PSSLM, Dr Ahmad Tajuddin Mansor dan Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh.
Norlee Ashilin pula berkata, penerapan akhlak terpuji dapat dilaksanakan di kalangan remaja apabila menyertai persatuan itu dan membantu membendung mereka daripada terbabit dengan gejala negatif.
0 comments:
Post a Comment