MENURUT
ISLAM
1.
TUJUAN
1.1.
Garis panduan ini disediakan untuk
dijadikan panduan kepada umat Islam khususnya mereka yang terlibat dengan
amalan seni mempertahankan diri tradisional (silat) supaya terhindar dari
amalan yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam yang sebenar.
2.
PENDAHULUAN
2.1.
Islam amat menitikberatkan soal-soal
akidah dan syariah. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan
kepada sumber-sumber asal Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias adalah
ditolak. Kepercayaan-kepercayaan dan amalan-amalan tertentu dalam
masyarakat Islam di Malaysia sedikit sebanyak ada hubungkaitnya dengan pengaruh
fahaman Anamisme, Dinamisme, Hindu, Buddha dan Syiah (Ghulu) yang sebahagiannya
telah menjadi darah daging kepada pengamal suci mempertahankan diri
tradisional (silat). Oleh itu gari panduan ini perlu dijadikan asas dan
panduan supaya dapat mengelakkan diri dari terjerumus ke dalam penyelewengan
akidah dan syariat Islam. Allah berfirman dalam surah Yunus, ayat 106:
ولا تدع من دون الله ما لا ينفعك
ولا يضرك فان فعلت فانك اذا من الظالمين
(سورة يونس :
106)
Bermaksud:
“Dan janganlah kamu menyembah
apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudharat kepadamu
selain Allah; sebab jika kamu berbuat (yang demikian) itu, maka sesungguhnya
kamu termasuk orang-orang yang zalim”.
2.2.
Dalam sejarah Islam memang wujud
pahlawan-pahlawan yang tekemuka di kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w.
Mereka telah berjuang menentang Musyrikin Quraisy dan penentang-penentang
ajaran Islam dari kalangan Munafikin. Antara sahabat berkenaan ialah
Saidina Ali, Khalid Ibnu Walid, Amru b. As-As, Abu Ubaidah b. Al-Jarrah, Saad
b. Abi Waqas dan lain-lain lagi. Di dalam Al-Quran didapati banyak
ayat-ayat yang menunjukkan bahawa perlunya umat Islam mempersiapkan diri dan
kelengkapan senjata serta kemudahan-kemudahan yang perlu untuk mempertahankan
agama, diri dan negara. Antaranya ayat 61 surah Al-Anfaal:
وان جنحوا للسلم فاجنح لها وتوكل على الله انه هو السميع
العليم
(الانفال : 61)
Bermaksud:
“Dan jika mereka (pihak musuh)
cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya
serta bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi
Maha Mengetahui”.
2.3.
Di dalam ilmu persilatan terdapat
beberapa syarat yang perlu dipatuhi sama ada ketika hendak masuk silat, setelah
masuk atau selepas tamat dan diijazahkan. Di antara syarat-syarat
tersebut:
(a)
menyediakan pengeras seperti pulut
kuning, limau purut, kain putih, bayaran pengeras dan sebagainya.
(b)
mandi dengan air mandian tertentu
sebagai lambang membersihkan segala kekotoran zahir dan batin.
(c)
tidak boleh meninggalkan sembahyang.
(d)
Tidak boleh banyak bertanya ketika
guru sedang mengajar atau mempersoalkan sebarang tindakan guru.
(e)
Melakukan gerak silat membuka atau
menutup gelanggang setiap kali memula atau menamatkan latihan silat.
2.4.
Guru memainkan peranan penting di
dalam menyampaikan sesuatu ilmu bagi menjamin kesahihan dan kesempurnaan ilmu
tersebut. Di dalam ilmu persilatan, guru adalah lambang kesempurnaan.
2.5.
Sesuatu seni mempertahankan diri
tradisional (silat) itu perlulah didasarkan kepada garis pandua berikut bagi
mengenalpasti ianya terhindar dari perkara-perkara yang bercanggah dengan
syariat Islam:
(a)
Asal Usul Silat
(b)
Syarat-Syarat Silat
(c)
Guru Silat
(d)
Ikrar Sumpah dan Taat Setia
(e)
Pantang Larang
(f)
Adab
(g)
Gerak Langkah
(h)
Amalan Dalam Silat
(i)
Pengijazahkan
(j)
Matlamat Silat
3.
GARIS PANDUAN SILAT DAN SENI
MEMPERTAHANKAN DIRI
3.1.
Asal-Usul Silat
3.1.1. Demi menjaga kesucian akidah Islam, beberapa perkara perlu
diambil perhatian iaitu setiap individu atau kumpulan tidak boleh mendakwa
bahawa:
(a) Silat mereka bersumber dari Nabi Muhammad s.a.w. para anbia
atau diambil dari Al-Quran dan Hadis atau berasal dari amalan para
sahabat Nabi s.a.w.
(b) Teknik atau pergerakan persilatannya berasal dari
ibadat-ibadat tertentu seperti rukun-rukun sembahyang.
(c) Seni silat mereka bersumberkan mimpi bertemu Rasulullah
s.a.w. atau para anbia yang lain atau para sahabat serta ulama.
3.2.
Syarat-syarat Silat
3.2.1. Bagi mempastikan syarat-syarat di dalam ilmu persilatan
tidak bercanggah dengan ajaran Islam maka:
(a) Semua perkara yang wajib dilakukan atau ditinggalkan oleh
seorang Islam, yang mukallaf tidak boleh dijadikan syarat di dalam silat
seperti sembahyang, puasa, jangan durhaka kepada ibubapa, sehingga mendatangkan
anggapan bahawa perkara wajib tersebut menjadi wajib hanya apabila dijadikan
syarat.
(b) Tidak boleh mengaitkan sesuatu pengeras dengan suatu akibat
yang dipercayai boleh merosakkan pegangan akidah.
(c) Tidak boleh percaya kepada sial seperti mandi membuang sial
atau mandi-mandi tertentu yang dikaitkan dengan persilatan.
(d) Tidak boleh melakukan gerak silat atau bacaan tertentu yang
mengandungi unsur-unsur meminta izin atau bantuan dari kuasa-kuasa makhluk
“ghaib” dalam acara “gerak membuka atau menutup gelanggang”, “’ayat kebal” atau
“pukulan angin maut” atau sembelih ayam dalam gelanggang.
(e) Tidak boleh mentaati guru atau seseorang pada
perkara-perkara yang jelas bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.
(f) Sebarang syarat yang bertentangan dengan akidah, syariah dan
akhlak Islam.
3.3.
Guru Silat
3.3.1. Guru silat yang beragama Islam hendaklah bukan terdiri
daripada:
(a) mereka yang melakukan perkara-perkara syirik, sama ada
melalui perkataan, perbuatan atau iktikad.
(b) mereka yang melakukan maksiat/jenayah dan yang bertentangan
dengan moral.
(c) pemecah belah masyarakat.
(d) Mereka yang mentafsir ajaran agama Islam mengikut hawa
nafsu.
3.3.2. Jika seseorang guru silat hendak melibatkan diri dalam hal
agama hendaklah mengetahui asas-asas agama Islam sama ada fardhu ain atau
fardhu kifayah seperti rukun Islam, rukun Iman, cara mengerjakan sembahyang dan
sebagainya.
3.3.3. Guru silat dilarang memasukkan atau menggunakan unsur-unsur
yang bercanggah dengan Islam seperti sihir dan ilmu kebal di dalam ilmu
persilatan.
3.4.
Ikrar Sumpah Dan Taat Setia
3.4.1. Sumpah tidak dibolehkan sebaliknya hanya ikrar.
3.4.2. Murid-murid tidak boleh taat secara membuat tuli kepada
guru. Mereka hendaklah mengikut perintah guru selama tidak bercanggah
dengan perintah Allah.
3.4.3. Sumpah tidak boleh digunakan kepada perkara-perkara yang
telahpun diwajibkan di dalam Islam seperti bersumpah akan taat kepada ibubapa,
bersumpah akan taat kepada Allah dan Rasul dan sebagainya.
3.4.4. Bacaan-bacaan, amalan dan ikrar yang terdapat di dalam
sumpah hendaklah mengandungi perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan
akidah dan syariat Islam seperti memuja dewa, atau nama berhala.
3.4.5. Di dalam upacara sumpah dan bai’ah sama ada dari segi fizikal
atau mental hendaklah tidak mempunyai unsur-unsur yang mensyirikkan Allah dan
menjatuhkan maruah seseorang sebagai umat Islam.
3.5.
Pantang Larang
3.5.1. Suatu pantang larang hendaklah bukan daripada
perkara-perkara yang jelas diwajibkan di dalam Islam seperti tidak meninggalkan
sembahyang, jangan berkelahi sesama ahli dan sebagainya.
3.5.2. Suatu pantang larang tidak boleh dikaitkan dengan
unsur-unsur pemujaan, meminta izin, perlindungan atau bantuan daripada
makhluk-makhluk ghaib seperti larangan berludah kerana ditakuti tidak
menjadi.
3.5.3. Tidak boleh memenuhi kehendak pantang larang sehingga
melakukan perkara-perkara yang ditegah di dalam Islam seperti meninggalkan
tanggungjawab sebagai suami atau isteri dan sebagainya.
3.5.4. Perkara-perkara yang harus dan halal tidak boleh dihukumkan
haram.
3.6.
Adab
3.6.1. Adab Murid Dengan Guru:
(a) Guru tidak boleh menganggap dirinya yang paling mulia dan
tidak pernah bersalah.
(b) Guru hendaklah mengelakkan diri dari dianggap orang yang
perlu ditaati secara mutlak.
(c) Guru tidak boleh menganggap orang lain lemah dan lekeh.
(d) Guru hendaklah melarang murid-muridnya memuja, mengagung dan
taksub kepadanya.
3.6.2. Adab Sesama Murid Seperguruan:
(a) Seseorang murid tidak boleh memberikan hak secara khusus
kepada murid seperguruannya sahaja, seperti memberi ucapan salam, tidak boleh
bergaduh sesama ahli dan sebagainya.
(b) Seseorang murid tidak boleh menanam atau mengapi-apikan
perasaan bangga diri dan taksub kepada kumpulannya sehingga memandang hina dan
negatif kepada orang lain.
3.6.3. Adab Murid Dengan Orang Lain
(a) Seseorang murid tidak boleh mengutamakan guru silat dan
murid-murid seperguruannya sehingga mengabaikan hak dan kewajipannya kepada
ibubapa, suami, isteri, anak dan ahli keluarga.
(b) Seseorang murit tidak boleh memandang rendah dan hina
terhadap orang bukan dari kalangan ahli silatnya.
(c) Seseorang murid yang beragama mesti menjalinkan ikatan
persahabatan sama ada sesama ahli atau orang lain.
3.7.
Gerak Langkah
(a)
Gerak langkah silat tidak boleh
dikaitkan dengan zat Allah dan sifat-sifat-Nya atau merupakan maksud di sebalik
kalimah atau nama-nama Allah atau sifat-sifatNya.
(b)
Gerak langkah silat tidak boleh
diertikan sebagai maksud yang tersirat daripada ahli atau jasad Rasulullah
s.a.w., para malaikat, nabi-nabi dan orang soleh.
(c)
Gerak langkah silat tidak boleh
dimaksudkan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam atau
perlakuan-perlakuan ibadat yang tertentu seperti dua kalimah syahadah dan
sembahyang.
3.8.
Amalan Dalam Silat
(a)
Tidak boleh memuja dan memperhambkan
diri kepada sesuatu kuasa atau peribadi yang boleh mendatangkan nasib baik atau
buruk kepada seseorang seperti hantu, dewa, keramat, kubur, keris, busut dan
sebagainya.
(b)
Tidak boleh menggunakan tangkal dan
azimat yang mengandungi rajah-rajah atau tulisan-tulisan yang tidak difahami,
objek-objek tertentu dan bercampuraduk dengan ayat Al-Quran.
(c)
Tidak boleh mengamalkan
bacaan-bacaan tertentu yang tidak difahami maknanya dikhuatiri mengandungi
kata-kata pemujaan kepada berhala, iblis, syaitan atau nama berhala orang kafir
serta bercampur aduk dengan ayat al-Quran.
(d)
Tidak boleh meninggalkan
ibadat-ibadat wajib yang dituntut di dalam Islam seperti sembahyang lima
waktu dan puasa di bulan Ramadan ketika melakukan amalan silat.
3.9.
Pengijazahan
(a)
Tidak boleh melakukan isyarat sembah
atau gerak tubuh yang melambangkan ketundukan yang menyamai atau melebihi
ketundukan yang hanya layak kepada Allah sahaja seperti tidak sembah kepada
guru.
(b)
Tidak boleh melakukan
upacara-upacara yang mengandungi unsur-unsur penyembahan, pemujaan, memohon
bantuan atau memperhambakan diri kepada kuasa-kuasa atau tenaga-tenaga ghaib
seperti mempersembahkan sedulang makanan, menyembelih ayam dan sebagainya.
3.10.
Matlamat Silat
(a)
Matlamat silat hendaklah matlamat
yang baik seperti untuk kesihatan tubuh badan, mendisiplinkan diri, hidup
bermasyarakat, untuk mempertahankan diri dari bahaya dan sebagainya.
(b)
Matlamat silat tidak boleh:
(i)
Untuk membalas dendam, menuntut
bela, membuat aniaya, menakut-nakutkan dan mengugut orang lain.
(ii)
Untuk menanam sifat berani yang
keterlaluan sehingga hilang hormat kepada ibubapa, guru, ahli keluarga dan
lain-lain.
(iii)
Untuk memupuk sentimen perkauman
atau taksub golongan/kumpulan ekstrim agama yang melampau di kalangan ahli.
4.
PENUTUP
Dengan mengikut garis panduan ini diharapkan para pengamal silat dan seni
mempertahankan diri supaya dapat menghindarkan diri menyimpang daripada ajaran
Islam yang benar, agar hidup sentiasa dirahmati Allah S.W.T.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,
Kuala Lumpur.
My documents/bib/JA/Garis Panduan Silat